Cahaya itu sangat kita perlukan pada hari akhirat kelak, yakni ketika seluruh dan sepenuhnya bergelap apabila matahari, bulan, planet dan seluruh cakerawala digulung. Dalam keadaan yang maha gawat itu, orang mukmin akan dibantu oleh cahaya daripada Allah untuk melepasi segala halangan dan akhirnya akan masuk ke dalam syurga. Sebaliknya orang yang derhaka akan menghadapi banyak halangan dan akhirnya terjerumus ke dalam neraka.
Cahaya itu juga sangat kita perlukan ketika hidup di dunia ini terutamanya pada zaman fitnah yang menyerupai kegelapan malam. inilah zaman yang menyaksikan orang yang khianat dan pelaku maksiat menjadi dominan di tengah-tengah masyarakat.
Abu Hurairah r.a berkata: "aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda (yang bermaksud): 'umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang menimpa umat-umat terdahulu'
sahabat bertanya: apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?
Nabi s.a.w menjawab: "Penyakit-penyakit itu ialah terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta benda dunia, saling memarahi, hasut-menghasut sehingga terjadi zalim-menzalimi."
(Riwayat al-Hakim)
Soalnya, dimana dan bagaimana untuk mendapat cahaya itu? Rasulullah s.a.w telah menjawab persoalan ini menerusi sabdanya: "berilah khabar gembira bagi orang yang berjalan dalam kegelapan menuju masjid untuk mengerjakan solat subuh dengan cahaya yang terang benderang pada hari kiamat." (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah)
Individu yang konsisten mengerjakan solat Subuh berjemaah dijanjikan akan mendapat cahaya di akhirat. Namun sebelum itu mereka akan mendapat cahaya di dunia lagi. Mata hati mereka akan celik ketika majoriti manusia buta untuk melihat kebenaran. Mereka berani melawan arus walaupun bilangan mereka sedikit kerana yakin akan firman Allah ini: " Dan jika kamu mentaati kebanyakan manusia di bumi ini nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah." (Surah al-An'am 6:116)
Dengan cahaya daripada Allah itu, golongan minoriti yang istiqamah solat subuh berjemaah ini akan mendapat kekuatan menghadapi fitnah akhir zaman. semua itu akan melemaskan jiwa, fikiran dan emosi ke lembah tekanan, kebosanan dan kekosongan.
Ayuh bangun! Marilah solat Subuh berjemaah. الصلاة خير من النوم (Solat itu lebih baik daripada tidur).Itulah kalimah yang hanya ada pada azan solat subuh, tidak pada azan solat-solat yang lain.
Penulis: Ust Pahrol Mohd Juoi
Solusi 36.
0 comments:
Post a Comment