Sunday 22 April 2012

Dimensi Rezeki Dalam Solat Dhuha 2

Dimensi rezeki yang kedua seperti dalam hadith berikut;
Rasulullah pernah mengirimkan pasukan dalam sebuah peperangan. Dalam waktu yang agak singkat, mereka berjaya beroleh kemenangan dan membawa pulang banyak barang rampasan peperangan.Ramai antara mereka bercakap tentang pendeknya waktu peperangan dan cepatnya mereka pulang serta banyaknya harta rampasan perang. Lalu Rasulullah S.A.W berkata, " bersediakan kamu untuk aku tunjukkan orang yang paling singkat waktu berperangnya, paling banyak rampasan perangnya dan paling cepat kembalinya? Siapa berwudhu kemudian berangkat ke masjid melakukan solat dhuha, maka dialah yang paling singkat waktu berperangnya, paling banyak rampasan perangnya dan paling cepat kembalinya," (hadith riwayat Ahmad dan Tabrani)


Dimensi rezeki ketiga adalah seperti sabda Rasulullah S.A.W, "Dalam tubuh manusia terdapat 360 sendi. setiap sendi wajib dikeluarkan sedekahnya." Para sahabat bertanya, "siapakah yang mampu melaksanakan perkara itu?"
Rasulullah S.A.W menjawab:"Sepercik kahak didalam masjid yang kamu bersihkan, benda ditengah jalan yang mengganggu perjalanan orang, yang kamu singkirkan, adalah sedekah. Apabila kamu tidak mampu melakukannya, maka solat dhuha dua rakaat sudah mencukupi kewajipan sedekah kamu." (Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)



Dimensi rezeki keempat adalah seperti yang diwasiatkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadithnya, "Sesiapa yang mengerjakan solat dhuha dua rakaat, dia tidak dicatat dalam kelompok orang yang lupa. Sesiapa yang mengerjakan solat dhuha empat rakaat, dia dicatat sebagai orang yang kuat beribadat. siapa yang mengerjakan solat dhuha enam rakaat, pada hari itu segala keperluannya dicukupkan oleh Allah. Sesiapa yang mengerjakan solat dhuha lapan rakaat, Allah memasukkannya dalam golongan yang tunduk serta menghabiskan seluruh waktunya beribadat. sesiapa yang mengerjakan solat dhuha 12 rakaat, Allah membangunkan baginya sebuah istana indah dalam syurga. Tidak ada dalam sehari semalam kecuali Allah pasti memberikan anugerah sera sedekah kepada hambaNya. (hadith riwayat Tabrani dan Abu Daud)



Dimensi rezeki ke lima pula berkaitan kehidupan selepas mati. Rasulullah menegaskan "sesiapa yang mendirikan solat dhuha empat rakaat dan sebelum solat zohor empat rakaat, maka didirikan baginya rumah didalam syurga. (Hadith riwayat Tabrani)
"dalam syurga terdapat pintu yang bernama ad-Dhuha. Apabila Hari Kiamat tiba, diseru kepada manusia "Mana orang yang mendirikan solat dhuha? inilah pintu kamu. masuklah ke dalam syurga dengan iringan rahmat Allah! (Hadith riwayat Tabrani)


walau bagaimanapun, haruslah diingat bahawa ganjaran dan rahmat Allah hanya mampu dicapai dengan bertaubat dan memohon keampunan dari Allah, sentiasa menjaga solat fardhu dan ibadah wajib seharian. Wallahua'lam.

sumber: Diari hidup Rasulullah S.A.W
Tulisan: Muhammad Abd. Syukur, Muhammad Muslih Aziz, Muhammad Syamsul Yakin

[...]

Friday 20 April 2012

Dimensi Rezeki Dalam Solat Dhuha

Assalamualaikum semua. Sudah bersiap-siap hendak ke pejabat? Atau hendak ke kampus dan memulakan sesi menimba ilmu? Ataupun ingin memulakan rutin harian dirumah? Ada baiknya lakukan dahulu seperti apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah, iaitu solat dhuha, paling kurang dua rakaat. Solat dhuha dan segala yang berkaitan dengannya disandarkan atas apa yang dilakukan oleh Rasulullah. Baginda tidak hanya melakukan solat dhuha ketika berada dirumah tetapi juga ketika dalam perjalanan bermusafir.

Salah satu tujuan solat dhuha didirikan adalah supaya pelakunya mendapat rezeki dan dijauhkan daripada kemiskinan. Tetapi seseorang itu perlu betul-betul bertaubat dan memohon ampun dari Allah seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah: solat dhuha itu mendatangkan rezeki dan menjauhkan kemiskinan, dan tidak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat.

Selain hampir dengan rezeki, solat dhuha juga ada kaitan dengan taubat. Tidak ada rezeki tanpa memohon keampunan, tanpa ada usaha dan solat dhuha. "Sesiapa yang membiasakan diri melakukan solat dhuha dua rakaat, maka diampunilah dosa-dosanya sekalipun sekecil buih di lautan" (Hadith riwayat Ibn Majah dan Tarmizi)

Lebih tegas, Allah menyatakan pemberian rezeki dan pemberian keampunan dalam surah Nuh ayat 10-12 "maka Aku katakan kepada mereka, 'Mohon ampunlah kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun' pasti Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, membanyakkan harta dan anak-anak kamu, mengadakan untuk kamu kebun-kebun dan mengadakan pula didalamnya sungai-sungai"

Implikasi positif yang kita harapkan dalam solat dhuha dalam konteks ini adalah pertama, dengan solat dhuha ini kita mampu membezakan antara pendusta dan orang yang benar. Ini kerana orang yang menjaga solatnya akan menjauhkan diri dari melakukan pembohongan. Jika kita masih tidak dapat membezakan, bererti kita sendiri masih suka berdusta. Ataupun kita masih memandang orang daripada penampilan ataupun daripada bahasanya.

Kedua, dengan solat dhuha, kita dapat menghapuskan sikap tidak konsisten. Kita mulakan dengan diri kita sendiri. Ketika kita membela pengkhianat dan mengatakan dia seorang yang amanah demi meraih keuntungan peribadi, kita sebenarnya telah menghancurkan kebenaran. Kita perlu berpihak kepada amanah walaupun kita akan menanggung rugi. Menjaga solat akan menghindarkan kita dari tidak konsisten berpihak pada kebenaran apatah lagi menggunakan kelebihan dan kekurangan orang lain untuk mengejar cita-cita sendiri.

Ketiga, dengan solat dhuha, kita dapat memperbaiki diri dengan memohon keampunan kepadaNya. dengan memohon ampun, selain berusaha, pintu rezeki pasti terbuka luas. Malah, bukan hanya rezeki berupa wang ringgit dan harta benda tetapi juga rezeki kedamaian, keamanan, kebahagiaan, saling mempercayai satu sama lain, kasih sayang dan perpaduan.

Menurut tafsir Ibnu Kathir berkaitan surah Nuh ayat 10-12, apabila manusia berdoa dan meminta ampun kepadaNya dan sentiasa mentaatiNya, Allah pasti menambahkan rezeki, menurunkan hujan serta berkat dari langit dan bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, melimpahkan air, memperbanyakkan harta dan anak-anak, menjadikan kebun-kebun penuh dengan pelbagai jenis buah-buahan serta mengalirkan sungai-sungai diantara kebun itu. Inilah dimensi rezeki yang pertama.

Bersambung...
[...]

Friday 13 April 2012

Empat Jari Kepada Anda

Adalah lumrah manusia untuk melakukan kesilapan; tetapi anda telah melakukan kesilapan yang lebih besar jika anda menyalahkan orang lain.



Firman Allah yang bermaksud:

sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah (Al-Ma'arij 70: 19 - 20)

Dan siapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang yang tidak berslah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang nyata (An-Nisa' 4:112)

Dan apa jua musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu) (Asy-Syu'ara' 42:30)

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan dan menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (An-Nisa' 4:110)


KISAH SUAMI YANG PRIHATIN

Suatu masa dahulu, terdapat seorang lelaki yang merasakan isterinya mempunyai masalah pendengaran. Oleh kerana dia tidak mahu isterinya berkecil hati, dia telah pergi berjumpa dengan doktor mereka secara rahsia untuk mendapatkan nasihat. Doktor mereka mencadangkan agar dia melakukan teknik yang termudah dan paling berkesan untuk menguji pendengaran isterinya. Teknik tersebut boleh menguji betapa seriusnya masalah pendengaran isterinya. 

"Anda perlu berdiri sejauh 40 kaki daripadanya dan cuba berbual dengannya dengan nada dan kelantangan suara yang biasa. Jika dia tidak dengar, dekatinya pada jarak 30 kaki. Jika dia masih tidak dengar, berdiri 20 kaki daripadanya dan teruskan menghampirinya hingga dia boleh dengar apa yang anda cakapkan."

"Mudahnya," kata lelaki itu dengan gembira. Petang itu, ketika isterinya sedang memasak, dia mengagak jaraknya daripada isterinya.

40 kaki. "Ya, lebih kurang jauh itu," dia berbisik pada dirinya. "Malam ini kita makan apa, sayang?" dia bertanya dengan suara yang biasa. Isterinya tidak menjawab.

Perlahan-lahan, dia berjalan lebih hampir. 30 kaki... dia berhati-hati membuat anggaran. Kemudian, dia bertanya semula, " Malam ni kita makan apa, sayang?" dia bertanya dengan suara yang biasa. Isterinya tidak menjawab.

"Wah, teruk jugak nampaknya," dia bertanya pada dirinya sambil berjalan sehingga dia berada 20 kaki daripada siterinya. Tetapi isterinya masih tidak menjawab.

Dia terus bergerak ke arah isterinya hinggakan sudah menghampiri isterinya malah dia betul-betul berdiri disebelah isterinya, lalu bertanya,
"Sayang, kita makan apa malam ini?"
"Ya Allah, dah berapa kali saya nak jawab, saya goreng AYAM!"

P/s: siapa sangka? selama ini lelaki itu menganggap isterinya yang mempunyai masalah pendengaran. Rupa-rupanya telinga dia sendiri yang perlu diperiksa. Sebelum menunding jari ke arah orang lain, periksalah kesalahan diri sendiri dahulu. sesungguhnya Allah telah berfirman bahawa apa jua musibah yang menimpa diri kita adalah dari perbuatan tangan kita sendiri. tetapi dengan rahmat dan rahimnya Allah, Dia mengampunkan dosa kita jika kita memohon keampunan dariNya (",)

Petikan buku: Hidup Bukan Rahsia Anda, Saya dan Kita 
[18 kisah penuh inspirasi berasaskan kehidupan seharian seorang muslim]
  oleh Zabrina A. Bakar
[...]

Bengkel Brooch dan sambutan hari lahir


Assalamualaikum kepada semua. Alhamdulillah pada 28 mac 2012 Nisa' PB telah mengadakan bengkel membuat brooch bunga anjuran Syakirah's Craft

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membantu dalam meningkatkan kreativiti sahabat-sahabat sekaligus menjana pendapatan Nisa' kawasan. Sesi pembelajaran bermula jam 9.30 malam dan berakhir jam 11.00 malam disusuli dengan Sambutan Harijadi beberapa ahli Nisa' PB yang telah menyambut harijadi pada bulan Februari dan Mac. Sanah helwah kepada mereka dan tahniah kepada peserta yang telah berjaya menyiapkan brooch bunga dalam bengkel tersebut.

 

Pelbagai gelagat menarik sahabat-sahabat dalam proses menyiapkan brooch tersebut. ada yang menjahit dengan yakin mengikut kepakaran, dan ada juga yang merungut hasil jahitan tidak menarik. yang 'pakar' membantu yang 'keliru' dan yang cepat menunggu yang lambat. adat belajar memang begitu. 

Disibukkan pula dengan kecomelan si kecil bermain ke sana ke mari yang akhirnya mengundang tangis. Walau bagaimanapun akhirnya sahabat-sahabat dapat juga menyiapkan tugasan yang diberikan. Ada yang brooch nya tidak dapat disiapkan, jangan bersedih. boleh cuba lagi di masa akan datang ^_^


Untuk membuat tempahan aksesori Syakira's Craft, bolehlah menyinggah di laman Syakirah's Craft atau ke laman facebook: www.facebook.com/SyakirahCraft

[...]

Tuesday 3 April 2012

Zul Janahain (Yang memiliki dua sayap)

Jamadil awwal pun bermula. 

Setelah ma’al hijrah berlalu meninggalkan kita, disusuli maulidurrasul, masa terus berjalan membawa seribu satu peristiwa.
Kita yakin, diantara waktu-waktu ini ramai nama-nama tersohor dalam sejarah Islam pergi meninggalkan dunia. Ada yang telah berjaya menyandang gelaran syuhada’ dan ada juga yang hilang ditelan masa. Semoga kita juga berjaya untuk memilih suatu kehidupan mulia dan memegang pingat syuhada’, insya Allah.

Peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Jamadil awwal banyak sekali. Antara peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini adalah Perang Mu’tah. Perang untuk menguji iman dan taqwa, yang ibrahnya meletakkan tiga syuhada’ di maqam yang berbeza.

Selepas berlakunya Umratul Qada’, Khalid bin al-walid telah mengisytiharkan keislamannya di khalayak ramai. Sedang waktu itu, Rasulullah sangat yakin bahawa umratul Qada’ telah meninggalkan pengaruh yang cukup besar dalam hati Quraisy dan seluruh penduduk Mekah. Baginda juga yakin bahawa peristiwa-peristiwa besar akan menyusul dan mempercepatkan ‘kembalinya’ mereka ke Mekah.

Setelah kembali ke Madinah, perhatian Rasulullah tertuju ke wilayah Syam dan bahagian-bahagian utara untuk menyebarkan agama Islam. Oleh itu, baginda telah menghantar Harith bin Umair al-azdi untuk membawa surat kepada Syarahbil bin Amru Al-Ghassani, penguasa Basrah, Wilayah kekuasaan Rom. Setelah Syarahbil membaca surat tersebut, dia marah dan mengikat utusan tersebut lalu membunuhnya. Setelah berita tersebut sampai kepada Rasulullah, Baginda mengumumkan dan mengutuskan seramai 3000 orang ke Basrah.  Ini kerana tindakan Syarahbil membunuh utusan bererti mengisytiharkan peperangan dengan pihak yang menghantar utusan tersebut. Rasulullah melantik Zaid bin Harithah menjadi panglima perang.

Rasulullah berkata: 
Jika dia gugur maka penggantinya adalah Jaafar bin Abu Talib. Jika Jaafar gugur, maka penggantinya adalah adalah Abdullah bin Rawahah.

Rasulullah melepaskan mereka dan mendoakan keselamatan kepada mereka. Pasukan ini menempuh perjalanan yang jauh dan berhadapan dengan musuh yang amat kuat, iaitu lebih 100,000 orang dari pasukan Rom, ditambah lagi dengan suku-suku Arab yang bergabung dengan mereka.

Pasukan Islam menetap di Ma’an selama 2 hari, serta mempertimbangkan langkah mereka. 

Mereka berkata: Sebaiknya kita mengirim surat kepada Rasulullah dan menjelaskan kepada baginda tentang jumlah pasukan lawan. Mungkin baginda akan mengirim bantuan atau member suatu keputusan, lalu kita melaksanakannya.

Abdullah bin Rawahah memberikan semangat kepada segenap pasukan Islam. 
Dia berkata: “ wahai kaumku. Demi Allah, apa yang kalian takutkan adalah sesuatu yang kalian cari ketika kalian berangkat iaitu syahid. Kita tidak berperang dengan jumlah dan kekuatan, tetapi kita berperang dengan agama yang telah memuliakan kita. Oleh kerana itu berangkatlah. Dihadapan kalian ada dua kebaikan. Menang atau mati syahid.” 

Maka pasukan Islam pun berangkat. Ketika tiba di sempada Balqa’, mereka bertemu dengan pasukan gabungan dari Rom dan suku-suku Arab. Musuh pun semakin mendekat, maka pasukan Islam menyusur ke sebuah desa bernama Mu’tah dan disinilah peperangan ini terjadi.

Dengan memegang bendera yang diberikan oleh Rasulullah, Zaid terus maju ke tengah-tengah musuh. Ia yakin bahawa kematiannya itu takkan dapat dielakkan. Tetapi mati disini bererti syahid dijalan Allah. Selain kemenangan, hanya ada satu pilihan iaitu syahid. Zaid berperang bermati-matian. Hampir seluruh bahagian tubuhnya terdapat luka bekas tikaman tombak.

Setelah itu bendera dipegang oleh Jaafar. Dia juga berperang bermati-matian. Akhirnya pihak musuh Berjaya membunuh kudanya. Jaafar tidak menyerah, dia berperang tanpa kuda hingga tangan kanannya putus ditebas pedang. Dia pun memegang bendera dengan tangan kirinya dan tangan kirinya juga dipotong. Dia memeluk bendera tersebut dan terus mengibarkannya hingga dia gugur menjadi syahid. Ketika itu usianya 33 tahun. Di tubuhnya terdapat 90 luka bekas tikaman pedang, panah, tombak dan semuanya datang dari arah hadapan.

Setelah jaafar terbunuh, bendera dipegang oleh Abdullah bin rawahah. Dia bergerak ke hadapan dan turun daripada kudanya. Dia menimbang-nimbang untuk turun dari kudanya atau tidak. Dalam keadaan ragu, dia berkata: oh diriku, bersumpah aku. Akan turun engkau, akan turun. Atau masih terpaksa juga. Jika orang sudah berperang, dan gendering sudah berkumandang. Kenapa ku lihat kau masih membenci syurga? Setelah itu dia mengambil pedangnya lalu berperang bermati-matian hingga gugur sebagai syahid.

Pasukan Islam kemudiannya bersepakat memberikan bendera kepada Khalid bin Walid. Khalid mengambil bendera pasukan dan memberikan semangat kepada pasukannya. Khalid yang terkenal dengan kehebatannya memimpin peperanganmengatur semula barisan muslimin. Dia sengaja melengah-lengahkan perang sehingga hari senja kerana yakin pada malamnya, pasti peperangan akan berhenti menunggu hari siang kembali.

Khalid mengambil kesempatan ini untuk menyusun strategi iaitu dengan mengatur barisan tentera berkuda berselerakan memanjang. Mereka dikerah untuk maju dari belakang untuk mengaburi pandangan musuh. Seawal pagi mereka telah melancarkan strageti tersebut sehingga menimbulkan gerun dihati musuh yang menganggap bantuan telah sampai kepada kaum muslimin. Akhirnya musuh menjauh dari pasukan Islam dan Khalid mengambil kesempatan itu untuk menarik tenteranya meninggalkan medan perang kerana melihat lebih baik menghindar daripada berperang.

Ketika pasukan Islam sudah tiba di sempadan Madinah, Rasulullah dan kaum Muslimin menyambut mereka. Kaum muslimin mengambil pasir dan menaburkan kepada para pasukan sambil berkata: “Larikan diri. Kalian melarikan diri daripada peperangan di jalan Allah."

Tetapi Rasulullah memujuk dengan berkata: “Bukan melarikan diri, tetapi mundur untuk berperang kembali insya Allah”

Rasulullah pernah bersabda tentang Jaafar yang bermaksud:
“Allah menggantikan kedua tangannya dengan dua sayap sehingga dia mampu terbang di syurga ke mana sahaja dia kehendaki”
Oleh kerana itulah Jaafar mendapat gelaran “Zul Janahain” (Yang memiliki dua sayap)


[...]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net
Photobucket

NISA’ berhasrat untuk menjalin hubungan akrab dengan pelbagai pihak seperti kementerian, agensi kerajaan, media serta NGO dalam usaha NISA’ untuk berkhidmat kepada masyarakat.


MISI NISA'

NISA' berhasrat melahirkan generasi yang mengagungkan agama, mencintai ilmu & berakhlak mulia. Misi NISA' ini akan tercapai melalui program-program yang dirancang dengan teliti, disemai dengan kasih sayang, dan disampaikan dengan penuh keikhlasan.


KEAHLIAN NISA'

Wanita berusia 15 - 40 tahun


SLOGAN NISA'

Slogan NISA' ialah "Penghubung Generasi Muda" atau "Connecting Youth", menggambarkan kesungguhan NISA' untuk menyatukan generasi muda melalui pendekatan bersepadu dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net
Photobucket
PRESIDEN:
Pn. Nur Aishah Sulong
(Contact No: 0139535916)

NAIB PRESIDEN:
Pn. Nurul Mukminah Yusof
(Contact No: 01111009240)

SETIAUSAHA:
Pn. Nurussolehah Yusof
(Contact No: 01119324325)

TIMBALAN SETIAUSAHA:
Pn. Nor Hafsah Muhammad Noor

PEGAWAI KEWANGAN:
Pn. Wan Normayani

EXCO UNIT PEMBANGUNAN INSAN (UPI):
Pn. Fatimah Az-Zahra M.Yahaya

EXCO UNIT PENDIDIKAN & KERJAYA (UPK):
Cik Sakinah Abdul Aziz

EXCO UNIT KAUNSELING & KEBAJIKAN (UKK):
Pn. Siti Zuhaidah

EXCO UNIT KESENIAN & SUKAN (UKS):
Pn. Hayati Ibrahim

EXCO UNIT NISA' NEWS & NETWORK (3N):
Cik Norasyikin Safieny